Showing posts with label kenanganku. Show all posts
Showing posts with label kenanganku. Show all posts
Sunday, January 10, 2010

Putih di mana-mana....GrrrRrrr...

Musim sejuk kali ni benar-benar 'menjadi'. Pemandangan sekitar yang memutih dengan frost adalah perkara biasa setiap tiba musim sejuk.


Frost di atas rumput ~ gambar hiasan.

Tetapi kali ini bukan sekadar frost, salji pula yang menjadi pemandangan biasa. Suhu di luar sering aje di bawah tahap beku. Penghujung tahun 2009 baru2 ini, Limerick dihujani dengan salji hampir seminggu. 2,3 hari ni salji turun lagi. Dan hari ini semakin lebat. Untuk kawasan Limerick yang tidak biasa dihujani salji, fenomena sebegini adalah yang julung-julung kali berlaku. Mungkin rezeki kami untuk mengalami suasana sebegini agaknya; sebelum kami balik...


Penghujung minggu baru2 ni, sekolah baru sahaja dibuka, setelah bercuti panjang lebih 2 minggu. Baru sempat 2 hari bersekolah, minggu ini sekolah ditutup lagi. Baru sahaja mendapat khabar tadi. Sekolah ditutup kerana cuaca yang agak tidak mengizinkan. Bersalji, pemandangan berkabus, dan jalan raya yang berais/licin.

Bagi yang tidak biasa dengan suasana salji, kedatangan salji mungkin ditunggu2. Termasuklah kami...hehhe.... Terasa sedap mata memandang dengan suasana yang memutih. Dan seronok dapat 'bermain' dengan salji. Tapi, keseronokan itu hanya sementara. Bila kehadiran salji berhari-hari, boleh menjejaskan aktiviti seharian. Nak ke mana-mana susah, kerana jalan yang licin boleh membahayakan kenderaan di jalan raya. Di waktu beginilah, banyak kemalangan berlaku. Perjalanan kenderaan awam; bas dan keretapi banyak tergendala. Penerbangan pun banyak tertunda. Dan terbaru, khabarnya, dijangka akan ada masalah bekalan air di sini dalam beberapa hari ini, kerana masalah perpaipan.

Bukan sahaja aktiviti di luar rumah, aktiviti di dalam rumah pun sedikit 'terganggu'. Almaklumlah, keadaan yang sangat sejuk.....terasa mahu 'berhibernasi' je..hihihh..

Esok, kami sekeluarga terpaksa juga keluar kerana ada temujanji untuk suntikan imunisasi swine flu. Harap perancangan esok berjalan lancar, walaupun cuaca yang agak tidak memberangsangkan.



Monday, November 09, 2009

I am bigger than yesterday

Saya kembali lagi . Dah lama saya tak muncul kat blog ibu nih.

Kata ibu, hari ini hari ulangtahun kelahiran saya. Kata ibu lagi, saya genap berusia setahun hari ini. 9 November 2009. Oooo..sudah setahun umur saya. Saya sudah besar rupanya.


Kredit ~ Bug-A-Licious mini kit (http://www.deliciousscraps.com/)

Ibu kata, sekejap je masa berlalu. Masih basah lagi kenangan saat kelahiran saya dahulu. Istimewa ke kenangan itu? Tentu lah kan...hehhe... saya lahir di negeri yang jauh daripada negeri kelahiran ibu dan ayah. Saya lahir di St Munchin Maternity Hospital, Limerick , Ireland. Tiada tok, tokki, adik beradik atau saudara mara ibu atau ayah di sisi ketika kelahiran saya. Hanya kami sekeluarga, ditemani kawan2 ibu dan ayah ketika itu. Kata ibu lagi, saya lahir di tengah-tengah kesibukan ayah menyiapkan pengajiannya. Oooh..ayah masih belajar rupanya..hehhe...


Kredit ~ Baby's room kit (http://rebeccasscrappingsilliness.blogspot.com/)

Kata ibu, dalam setahun usia saya, banyak yang saya pelajari tanpa disedari. Detik awal kelahiran, saya hanyalah seorang bayi yang mungkin tak mengerti apa2. Hanya tangisan menemani saya tatkala saya keluar melihat alam yang luas dan indah. Sedih agaknya meninggalkan alam rahim yg mungkin cukup selesa ketika itu. Atau mungkinkah tangisan kegembiraan dan kesyukuran dapat menghirup udara di alam dunia yang indah ini. Dapat menatap wajah ibu yang selama ini membawa sayadi dalam kandungan selama lebih 9 bulan. Juga dapat menatap wajah seorang ayah, juga kakak dan abang2 saya. Barangkali.

Walaupun mungkin saya tak mengerti apa2 ketika itu, tapi, naluri saya memahami dan mengerti kasih seorang ibu. Saya tenang dalam dakapan ibu ketika pertama kali ibu memeluk dan mencium saya. . Kehangatan kasih ayah juga masih terasa tatkala saya berada kemas dalam dakapan ayah, ketika ayah melaungkan azan di telinga saya. Indahnya saat itu.

Saat demi saat yang saya lalui, saya tahu, saya dikelilingi oleh orang2 yang mengasihi dan menyayangi saya. Ketika masih di hospital lagi, ayah memperkenalkan kakak dan abang2 saya. Ooh...mereka begitu girang menyambut saya sebagai seorang ahli keluarga yang baru. Kawan-kawan ibu dan ayah juga datang menziarah. Jururawat di hospital pun baik-baik belaka.

Tapi, kegembiraan itu rupanya bersulam cerita duka. Hari yang sepatutnya ayah membawa ibu dan saya pulang ke rumah, ibu diserang demam panas. Ibu perlu dirawat di hospital. Saya dan ibu dipisahkan. Saya yg tidak mengerti apa2 dijaga oleh jururawat yang bertugas di wad lain. Lama ibu di hospital. Khabarnya, teruk juga ibu sakit. Kata ibu lagi, saya juga terpaksa berada di hospital selama tempoh ibu dirawat di sana. Kesian ibu, mesti ibu sangat merindui saya ketika itu. Ibu kisahkan cerita kenangan saya dan ibu di hospital itu di sini,di sini, di sini, di sini, dan di sini.


Kredit ~ Btrue kit (http://misserinsscraps.blogspot.com/), word art (http://scrappingwords.blogspot.com/)

Hmmm....apa pula perkembangan saya sekarang ya? Yang terkini, saya tengah belajar berjalan. Saya masih takut2 untuk melangkah. Tapi saya sudah boleh berdiri tegak tanpa bantuan. Ibu kata mungkin dalam sedikit masa lagi saya boleh berjalan. Macamana agaknya nanti bila saya dah boleh berjalan sendiri? Hehhehe... tentu ibu pula akan semakin penat mengejar saya..hehhe..

Sekarang ni, saya begitu teruja merayau2 (merangkak) di dalam rumah. Semua benda adalah perkara baru bagi saya. Saya main dengan mainan yang bertaburan di dalam rumah. Saya selalu menemani ibu di dapur. Saya suka kalau ibu berikan saya pinggan, mangkuk, cawan (plastik) atau sudu untuk saya main. Saya juga suka merayap ke bilik ibu atau bilik kakak. Dan yang agak mencabar, saya juga suka memanjat anak-anak tangga. Pernah saya panjat anak-anak tangga sampai ke tingkat atas! Ibu atau ayah selalu saja 'kejar' saya yang mencuba untuk memanjat tangga..hehhe.. Mungkin ibu dan ayah bimbangkan keselamatan saya. Tapi, saya tak dapat melawan rasa teruja dan rasa ingin tahu saya..hehhe..

Gigi saya? Hmmm saya dah ada banyak gigi, dan saya dah boleh makan banyak jenis makanan. Ibu selalu menyuap makanan yang pelbagai untuk saya. Dan saya suka apa yang ibu suapkan! Dan, saya juga suka menggigit apa2 sahaja!

Apa lagi yang nak saya ceritakan sempena hari lahir saya ni ya? Hmmm..ehhehe.. tu je lah kot untuk kali nih. InsyaAllah lain kali bila ada kelapangan saya akan menyibuk2 lagi kat blog ibu nih..hihhh...

Ok. Sehingga kita ketemu lagi.....!


Salam sayang,

Hamdan,

No 6, The Paddocks.


Saturday, October 31, 2009

Mengimbau kenangan ~ Ireland suka dan duka

Sekadar berkongsi imbauan kenangan di sini. Memandangkan ini adalah bulan-bulan terakhir kami berada di bumi Ireland ini, mungkin ini masa yg sesuai untuk membelek kembali lakaran cerita hari-hari yang telah kami lalui di sini. Berhasrat untuk mengabadikan sebahagian cerita suka dan duka kami dalam bentuk digital scrapping. Jika berkesempatan, akan jua diabadikan di halaman "Sejenak Bersamaku...." ini.

Buat permulaan....


Kredit ~ Sara Smile kit (Scrap of Ellay)

Teratak pertama kami di bumi Ireland. Menjejak bumi Ireland pada 5 November 2006, ketika masih dalam suasana Adilfitri ketika itu. Di No 1, Plassey Grove, melakar kenangan indah selama lebih setahun bersama keluarga Kak Aida.

Terima kasih yang tak terhingga buat Kak Salmi dan Mazeedah yang membantu carikan rumah ini untuk kami. Urusan pencarian rumah bermula ketika kami masih di tanah air lagi. Kak Salmi (juga post grad student di Limerick ketika itu) dikenali melalui seorang rakan. Mazeedah pula kebetulannya junior semasa di sekolah dahulu, seorang doktor yang bekerja di sini. Sesampainya di bumi Ireland, kami sudah pun ada tempat berteduh sendiri,


Terima kasih juga buat Maiza dan Halim (kedua-duanya doktor bekerja di Limerick ketika itu, sekarang telah kembali bertugas di tanah air) yang banyak membantu kami dalam urusan2 di awal kedatangan kami ke sini.